Thursday, 3 January 2013

TANAH EMAS


Tanah emas dilingkari untaian sungai nan mengalirkan airnya nan suci
Bertuah sang watan berbudi bercucuk bertani
Dibahagi nikmat Ilahi yang Maha Suci Lagi Maha Pemberi Rahmat.
Bersemai kasih sayang cinta dan berahi
Berputiklah berkuntumlah bebunga haruman menghias lamannya
Dari kebun ke kebun dibajai dan disirami
benih-benih itu pastinya kan bercambah dan berbuah ranum
terpupuk dan terbela nasib si watan bergenggam tanah emas ini.

Kala ribut dan taufan sesekali menjengah kaki
Bergegar bergoyang setiap kebun dan pohon dikasihi
Si watan bermangu menyisip kopi dan ubi kayu
Si pohon Si kebun sendiri membuai alunan mencabarnya
Tanah Emas ini tetap menggenggam setiap akar dan pohon
Detik demi detik pautan itu terurai terlerai satu persatu
Badai melanda pelbagai arahnya bentuknya kuatnya
Kadang membelai lembut kadang menghempas ganas

Doa si watan pohonnya kebunnya kan kekal semua
Semoga hasilnya kan dinikmat dan dipasar
Bukan semua pohon dan kebunnya yang kukuh dan tegap
Dua tiga ada juga menyembah tanah emas ini
Ada patah pangkalnya
Ada rapuh rantingnya
Ada gugur daunnya
Ada tercabut tercabut akarnya

Salah Si Watan menjaga tanpa belah bahagi?
Salah Si Pohon dan Kebun menyerap apa yang diberi?
Salah Si Tanah Emas memberi khasiat tanpa henti ?

NASIB MAKHLUK ALLAH SUKA MENUDING KESANA KEMARI

Nonas Moris 
0735hrs 3 Januari 2013
Nagakh - Glakun - Hrooj

Tuesday, 1 January 2013

PERMULAAN DI KAKI KALI


Permulaan disambutkah?...
Permulaan disanggahkah?..

Dimanakah permulaannya permulaan ini?..
Dimanakah tumit mula meninggalkan bumi ini?..

Mungkinkah permulaan dipertengahan usia ini ?...
Mungkinkah permulaan dihujung nyawa ini?

Ku singgah jelingan di hulu.
Airnya berjeram, mengalir deras, menghempas batu..
Ada kiranya menyonsang arus mengelak terjunan ke jaringan belikat rimba..
Menyusur susur akar dan likuan parit.
Pernah juga merembat sulur - sulur rotan dan onak .. pedih!

Ku tatap mencongak desirannya ke muara.
Banyak cabang lagi yang masih perlu kutempuhi.
Akurkah jiwa menelusuri simpang dan jeram?.
Serasa berbirat tubuh belum tegal.



Ya Allah, hambaMu menongkat siku, menadah telapak.
Kau izinkanlah aku melihat mega di kaki langit senjaMu.

Jika dipinggir kali ini aku lemas menggapai KasihMu,
Kau sambutlah aku dengan Husnul Khotimah.
Jadikanlah mudik hambaMu ini penuh dengan HikmahMu,
penuh dengan BarakahMu, penuh dengan TauhidMu..
Kau tuntun jiwa ini mengorak permulaan ini.
Walau dipertengahan usia, walau dihujung nyawa.
Jadikanlah permulaan yang baik dan di akhirkan dengan baik...


Nonas Moris
00:58 hrs 1 Januari 2013....
Nagakh-Glakun-Hrooj.